Friday, December 12, 2008

Perginya ke Rahmatullah.. Al-Fatihah!

Salam kepada semua pembaca..

Hari ini terbit rasa sedih, malah lidah seperti kelu untuk berkata-kata, tatkala menerima berita sedih pemergian Papa kesayangan, IM Mas Hafizul. Di diamkan diri ini, buat seketika lalu mensedekah al-fatihah untuknya. Jika sendu diri kami, maka sudah tentu keadaan lagi memilukan buat Mie (panggilan manja saya untuk Mas). Izinkan diri ini meluahkan apa yang terbuku dihati.

Bila difikirkan kembali, pemergiannya memang telahpun dijangka kerana sakit yang dideritai, namun hati mana yang tidak sedih dan meratapi pemergiannya. Takdir Allah swt memang tidak terduga oleh akal fikiran manusia. Merenung kembali sejarah silam bila mana Arwah, Cikgu Abdul Rahman Halim mula-mula memperkenalkan Mas ke dunia catur, kami adik-beradik mengenali beliau seawal tahun 1988. Itupun kerana kami mula aktif dalam dunia catur, dan kerana ramahnya beliau bercerita tentang anak kesayangan. Demi menemani Mas mengapai cita-cita murni dalam arena catur, arwah berhenti kerja. Kehadiran Papa disisi Mas dalam setiap kejohanan (termasuk Warsaw, Poland pada 1991) adalah saat-saat terindah mereka berdua.

Untuk berbicara tentang catur dan bagaimana arwah mengasuh Mas seawal usia 3 tahun demi merapat hubungan ayah dan anak yang pernah renggang suatu ketika dulu, cukup mengharukan kami dan mengagumkan bila kami tidak pernah melihat beliau putus asa walaupun faktor sokongan kewangan banyak membatas bakat luarbiasa Mas. Arwah sentiasa ramah dengan sesiapa sahaja dan ternyata tidak pernah lokek ilmu untuk dikongsikan semua. Kali terakhir saya bertemu arwah adalah pada tahun 1996 sejurus sebelum kami berlepas ke Yerevan, Armenia.

Masih lagi teringat sewaktu Mas mengalami demam teruk sewaktu kejohanan remaja kebangsaan. Masih lagi terbayang wajah Cikgu yang risau kesihatan anaknya, namun Mas tidak menghampakan pengorbanan Papa bila dia merangkul juara kejohanan. TIdak pernah rasanya kami mendengar suara kasar, atau adegan marah Cikgu dalam mencorak karier catur Mas. Suara lunak dalam nada cukup lembut sentiasa dialunkan untuk Mas.

Kenangan sewaktu bersama beliau, bila saya dan Mas masing-masing menjadi wakil tunggal catur di calon oleh negeri masing-masing pada anugerah sukan Putera-puteri MSSM dan anugerah Tunas Harapan Putera-puteri MSSM, menjadi cukup bermakna bila Mas merangkul anugerah Tunas Putera, dan berdiri segak disamping pemenang Putera MSSM - Wan Azlan (Jaguh renang negara) dan Puteri MSSM - Farah Hani Imran (jaguh gimrama negara, sekarang merupakan pakar bedah). Masih terbayang dibenak, senyuman terukir diwajah cikgu pada masa itu. Seingat saya, waktu itu Mas berumur 10 tahun.

Ucapan terima kasih buat arwah sekeluarga, kerana pernah menumpangkan kami dirumah di Kelantan suatu ketika dulu (bersama Punithavathy waktu itu). Terima kasih juga pernah menumpangkan kami menaiki Van beliau (sempat juga singgah ke Manchester United Fan Club di petaling jaya untuk bertemu Laurence How, bagi mendapatkan buku catur untuk Mas masa itu).

Buat Mas sekeluarga, tabahlah menghadapi dugaan dan redha dengan ketentuan-Nya. Ternyata Allah swt lebih menyayangi Papa. Banyak-banyaklah bersabar dalam menempuh hari-hari mendatang. Hari ini, Allah swt selubungkan kita dengan kesedihan, hari esok Allah swt serlahkan hikmah yang tidak terhingga buat hamba-Nya...

Marilah semua peminat catur yang mengenali IM Mas Hafizul, dan Papa beliau, bersama-samalah kita memanjat doa memohon roh Papa dirahmati Allah swt dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Amin!

Al-fatihah......